Raub Selamat (tengah) bergambar bersama ahli Persatuan Tiong Hua Johor Bahru selepas mengadakan perbincangan mengenai pelaksanaan Perarakan Chingay 2022 di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Perarakan Chingay 2022 yang dijadual bermula 19 hingga 22 Februari ini akan dibenarkan pada dalam skala kecil dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, jumlah peserta bagi perarakan tersebut ditetapkan antara 100 hingga 220 orang.

Tambah beliau, sepanjang tempoh empat hari perayaan itu, beberapa jalan utama di bandar raya ini juga akan ditutup.

“Perarakan Chingay iaitu pada 21 Februari, sebanyak 13 laluan akan ditutup bermula pukul 7 malam hingga 3 pagi keesokan harinya.

“Antara laluan itu melibatkan,Jalan Ulu Ayer Molek, Jalan Lingkaran Dalam, Jalan Gertak Merah, Jalan Yahya Awal, Jalan Syed Mohd. Mufti, Jalan Dato’ Onn, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak dan juga jejambat berhak Danga City Mall,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Tiong Hua Johor Bahru, di pejabat persatuan itu, di sini, hari ini.

Menurut Raub, hanya mereka yang berdaftar dengan persatuan sahaja yang dibenarkan untuk menyertai perarakan berkenaan.

“Saya tidak galakan untuk orang awam terlibat sama walaupun hanya sebagai penonton, kerana seramai 361 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh empat hari itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette