Fuziah Salleh. foto MIRZA HASIM, 9 OGOS 2018
Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi penjelasan intergriti data Daftar Pemilih Tambahan bagi 2021 (DPT BLN12/2021) yang telah diwartakan baru-baru ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh mendakwa terdapat data yang mencurigakan pada nama-nama pengundi.

“Saya terima aduan pelbagai dari unit data parti-parti PH berkenaan data yang pelik-pelik sebagai nama pengundi. Seperti ‘Deceased’ dan ‘Expired’ sebagai nama pemilih.

”Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel no kad pengenalan dari DPT tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya menerusi kenyataan.

Justeru beliau mempertikaikan, bagaimana SPR boleh mewartakan data lebih 5.8 juta pengundi yang dikhuatiri kesahihannya.

Dalam masa sama, Fuziah turut mempersoalkan sama ada situasi ini akan menjejaskan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

“Dan adakah Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 12hb Mac 2022 akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah di wartakan?” soal beliau.

Sementara itu beliau mendakwa, sehingga kini SPR gagal membekalkan senarai Daftar Pemilih Tambahan bagi 2021 (DPT BLN12/2021).

Dakwanya, ini kerana Pakatan Harapan (PH) masih tidak dibenarkan membeli senarai berkenaan.

“Berkali- kali pihak unit data PH tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan.

“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah ianya disebabkan data berikut ada terdapat kesalahan atau ianya di sebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya?” soalnya lagi.

Sebagai rekod, SPR telah pun memperaku dan mewartakan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) sehingga bulan Disember tahun 2021 (DPT BLN12/2021).- MalaysiaGazette