Samsolbari Jamali
BATU PAHAT – Sebanyak RM34 juta mula disalurkan kepada petani di Johor menerusi program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun 2021 dan 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali berkata, lebih 5,000 petani, pesawah, nelayan, pengusaha projek pertanian secara berkelompok menerima insentif itu.
Katanya, pelbagai jentera bernilai RM1.9 juta juga sudah diagihkan kepada pesawah di lima daerah yang memanfaatkan 26 petani.
“Selain itu, penyerahan insentif industri asas tani sebanyak RM4.5 juta diberikan kepada 282 petani di seluruh Johor,” katanya selepas Majlis Penyampaian Mekanisasi Ladang dan Insentif Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Johor di Batu Pahat.
Samsolbari berkata, peruntukan berkenaan bagi memacu ekonomi negeri melalui sektor pertanian yang menjadi sumber utama keperluan kepada rakyat.
“Kejayaan projek pertanian bukan saja bergantung kepada pengetahuan, semangat dan keringat petani tetapi perlu disokong melalui penggunaan teknologi terkini,” katanya. – MalaysiaGazette