KLIA reopening national borders reopen
KLIA sentiasa sibuk menerima pelancong dari dalam dan luar negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 02 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur International Airport (KLIA) berjaya meraih kedudukan terbaik dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021 yang dijalankan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Pencapaian itu diraih bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun yang mencapai skor atau markah penuh 5.00 dalam tinjauan global tersebut, demikian menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata KLIA juga secara konsisten telah meraih skor penuh 5.00 bagi elemen ‘berasa selamat dan terjamin’ ASQ bagi 2021.

“Keadaan bertenang sebelum ini (susulan pandemik) telah membolehkan kami melaksanakan banyak penambahbaikan dan skor ASQ yang sempurna itu hanya mengesahkan lagi usaha yang dilakukan oleh keseluruhan komuniti lapangan terbang ini.

“Malah, pencapaian untuk berada dalam kelompok lapangan terbang global terbaik merupakan satu pengiktirafan untuk negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan tinjauan ASQ itu diumumkan oleh ACI baru-baru ini yang bertanggungjawab menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan penumpang secara menyeluruh terhadap keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Iskandar berkata, prospek industri penerbangan Malaysia juga kekal positif termasuk perkembangan pada Januari lepas melibatkan kehadiran sebuah syarikat penerbangan baharu serta penambahan beberapa laluan penerbangan baharu.

MAHB telah mengalu-alukan penerbangan sulung oleh SKS Airways di landasan pendek (STOL) Pangkor dan Redang dan kedua-dua lokasi itu menerima penerbangan harian menggunakan pesawat jenis Twin Otter dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Selain itu, empat laluan penerbangan baharu itu telah diperkenalkan oleh AirAsia pada bulan sama bagi meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Laluan tersebut adalah Kuching – Langkawi, Pulau Pinang – Sibu, Johor Bahru – Bintulu serta Kota Kinabalu – Kuala Terengganu.

Menurut Iskandar, oleh kerana perjalanan antarabangsa masih berdepan sekatan, prestasi aliran trafik penumpang kumpulan berkenaan dipacu oleh pergerakan domestik.

“Bagi Malaysia, aliran domestik tersebut mencatatkan sebanyak 2.5 juta penumpang pada bulan lepas iaitu 90 peratus daripada keseluruhan pergerakan penumpang di negara ini,” katanya.

Pada Januari lepas, sebanyak 8,700 pergerakan membabitkan jumlah purata penumpang harian dicatatkan — meningkat dua kali ganda berbanding November 2021 namun lebih rendah berbanding Disember 2021 dengan purata 2,000 penumpang harian.

Beliau berkata, Disember juga secara konsisten kekal sebagai bulan kemuncak dengan pergerakan penumpang tertinggi dalam setahun, prapandemik serta ketika tempoh pandemik COVID-19.

Penyambungan semula operasi jualan tiket bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin pada akhir bulan lepas serta perjalanan umrah pada 8 Februari lepas turut menjadi perkembangan positif dalam pemulihan perjalanan antarabangsa.

Pengendali lapangan terbang itu mencatatkan sejumlah 4.7 juta penumpang pada Januari 2022 bagi kedua-dua operasi di Malaysia dan Turki, penyusutan sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya sebanyak 5.3 juta penumpang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast