Bekas Pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir pada sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang memohon untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram akan diputuskan pada 23 Februari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Abdul Azeez yang sedang berdepan dengan perbicaraan kes itu ketika ini.

Tarikh itu telah dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada sebutan kes tersebut hari ini.

Peguam mewakili Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad turut mengesahkan tarikh itu.

Azura kemudian menetapkan 18 Mac ini bagi sebutan semula kes tersebut.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Ahli Parlimen Baling itu dengan berpandangan ia tidak mempunyai sebarang merit sehingga membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara.

Sebaliknya kata hakim itu semua pertuduhan telah dirangka dengan sempurna dan agak tidak matang jika pada peringkat ini mahkamah bertindak memutuskan semua pertuduhan itu tidak berasas.

Pada tahun lepas juga, Mahkamah Tinggi telah membenarkan penangguhan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen ditangguh sehingga proses rayuan itu selesai.

Sebelum ini, Abdul Azeez telah mengaku tidak bersalah terhadap 13 pertuduhan berhubung projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak.

Untuk itu, Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5.2 juta selain 10 tuduhan penggubahan wang haram. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast