Mohamed Azmin Ali

JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) mengharapkan 2.59 juta pengundi melakar sejarah baharu dengan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan masa depan negeri ini lebih stabil.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pengundi perlu membuat pilihan bijak dan elakkan memilih gabungan politik yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

“Tidak lama lagi ada ‘hari yang besar’ di Johor, buatlah keputusan yang betul. Kita perlukan kerajaan yang kuat, kita perlukan pemimpin yang berkredibiliti, jangan sokong kleptokrat. Sekarang masanya untuk buang mereka dari Johor .

“Untuk itu, saya nak mengajak dan mengingatkan semua rakyat Malaysia ‘enough is enough’ (cukup-cukuplah). Dia dah curi duit kita berbilion ringgit, bukan satu atau dua bilion ringgit, kamu adalah pembayar cukai, ‘you’ kerja kuat dan bayar cukai kepada kerajaan. Akhirnya dia curi dan rompak wang kita,” katanya pada program Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Goodhope Hotel, Skudai, petang tadi.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika ini pihak yang mengamalkan rasuah dan kleptokrasi mahu datang ke Johor untuk menagih undi semata-mata kerana PRN Johor.

Justeru katanya, penduduk negeri ini diseru untuk memilih parti politik ditunjangi oleh rakyat Johor iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berjaya menyelamatkan negara ketika menghadapi tempoh mencabar semasa pandemik Covid-19.

Azmin berkata, pemulihan ekonomi dan kesihatan negara yang dinikmati pada masa ini didasari pentadbiran Muhyiddin semasa beliau menjadi perdana menteri.

Tambah Mohamed Azmin Muhyiddin tidak kekal sebagai perdana menteri bukan kerana beliau gagal sebaliknya dijatuhkan golongan kleptokrat.

“Jadi kita tidak boleh biarkan perkara ini berlarutan. Walaupun golongan kleptokrat itu tidak bertanding dalam PRN Johor, tetapi rakan-rakan yang menyokong mereka masih ada dan bertanding di bawah logo yang sama,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast