Pekerja memasukkan maklumat pada robot yang berteknologi tinggi yang ditugaskan untuk menghantar makanan kepada pelanggan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ara Damansara, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang diadakan buat kali pertama tahun ini memutuskan untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Robotik Negara dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi robotik.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri secara dalam talian disertai oleh menteri-menteri serta ketua jabatan dan agensi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan ini mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing seterusnya meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.

Kepadatan robot di Malaysia bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2019 adalah 55 unit dan sasarannya adalah 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada tahun 2030.

Mesyuarat berkenaan turut menyokong konsep Projek Pemangkin bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL dan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek yang sesuai dan memantau pelaksanaan yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Projek Pemangkin akan dibiayai oleh sektor swasta dan kerajaan akan memainkan peranan sebagai pemudah cara.

Antara contoh projek pemangkin adalah perubatan pintar menyasarkan penubuhan hospital yang menggunakan teknologi 5G bagi meningkatkan taraf penjagaan kesihatan rakyat dan Bandar Pintar menyasarkan pelbagai kes kegunaan berguna bagi memastikan kelestarian kehidupan lebih bermakna.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga mengambil maklum tentang kemajuan dan pencapaiani Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menyaksikan sebanyak 1.89 juta premis baharu yang diliputi dengan capaian gentian optik dan sebanyak 1,189 menara 4G baharu telah dibina dari September 2020 sehingga Disember 2021.

Di bawah Fasa 1, sebanyak 6.85 juta premis diliputi dengan capaian gentian optik dan liputan 4G di kawasan berpenduduk mencatatkan 95% setakat 31 Disember 2021.

Digital Nasional Berhad (DNB) juga telah memulakan akses kepada rangkaian borong 5G di mana sebanyak 500 tapak 5G telah diaktifkan setakat 31 Disember 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.

DNB juga menyasarkan 3,500 tapak (bersamaan 36% liputan di kawasan berpenduduk) pada penghujung tahun 2022.

Tambahnya, melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK), sebanyak 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac 2022 di seluruh Malaysia.

Inisiatif ini menyediakan akses internet kolektif serta program keusahawanan kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, 19 Februari 2022 merupakan ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL sebagai satu inisiatif kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi serta peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Susulan itu, beberapa program telah dan akan dilaksanakan di sepanjang bulan Februari dan Mac, seperti Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran World Bank dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Baru, Kelantan, Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam.

Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang tahun 2030 nanti, ujar beliau. – MalaysiaGazette