Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian di NPE, pagi tadi. Foto JSPT IPD Petaling Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut digilis selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori dalam kejadian di Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada pukul 9.15 pagi.

“Ketika melalui tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave di sebelah kanan jalan telah bergesel dengan sebuah lori jenis Nissan lalu terjatuh dan digilis.

“Penunggang motosikal merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 24 tahun telah disahkan maut di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette