GAMBAR FAIL. Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak ketika dihadapkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor membantah Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mahu berhujah bagi dirinya sendiri dalam kes permohonan melucutkan kelayakan beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya ketika prosiding hari ini.

Rosmah sebelum ini telah memohon untuk lucut kelayakan Sri Ram daripada mengetuai kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan RM7 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya ketika ini.

Justeru itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan prosiding hari ini dan akan menyambungnya esok pagi bagi membolehkan kedua-dua pihak berhujah berhubung perkara itu.

Sepatutnya mahkamah petang ini mendengar permohonan Rosmah untuk menyingkirkan Sri Ram, bagaimanapun apabila bekas Hakim itu mahu berhujah sendiri, pasukan bela membantah.

Terdahulu, ketika prosiding pendengaran permohonan untuk menggugurkan beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes elak cukai dan penggubahan wang haram itu, Sri Ram mendakwa dia telah mendapat arahan untuk berhujah sendiri.

1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

Bagaimanapun, Mohd Reza Rahim, peguam yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah pasukan pembelaan tidak dimaklumkan Sri Ram akan berhujah untuk dirinya sendiri.

“Kami sangat terkejut kerana ini juga satu perbuatan ‘U-turn’ Yang Arif. Ini terang-terang ‘conflict of interest’ memandangkan Datuk Seri Gopal Sri Ram adalah pihak yang kita mohon untuk digugurkan dalam kes ini,” hujahnya.

Rosmah sebelum ini telah memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram atas alasan, antaranya mendakwa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu bukanlah orang yang sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes ini.

Pada  12 Januari lalu, Rosmah juga telah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar perbicaraan kes AMLA dan LHDN yang sedang dihadapi olehnya.

Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN di Mahkamah Sesyen di sini. -MalaysiaGazette