Seramai 11 orang usahawan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang juga peserta Business Exports Program (BEP) telah dibawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022-foto MEDAC.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 orang usahawan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang juga peserta Business Exports Program (BEP) telah dibawa menyertai Misi Peningkatan Eksport atau Export Acceleration Mission (EAM) Dubai 2022 yang berlangsung serentak dengan Ekspo Dubai 2020 dan Gulf Food.

EAM telah dilancarkan di Dubai oleh Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Suriani Datuk Ahmad pada 13 Februari lalu.

Menurut satu kenyataan, BEP merupakan program intervensi berstruktur Rancangan Malaysia ke-11 di bawah inisiatif mempelbagaikan eksport negara dan mengurangkan kebergantungan kepada eksport minyak dan gas.

Selain itu, BEP juga secara langsung menyokong Teras 6  Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 dalam mengantarabangsakan perusahaan berprestasi tinggi dengan memudahkan usahawan PKS bumiputera menembusi pasaran eksport

SME Bank menyasarkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM23 juta bagi keseluruhan peserta BEP yang dijalankan secara usaha sama oleh MEDAC dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Strategik Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata, selain  mencari peluang melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa, 11 orang usahawan PKS daripada sektor makanan dan minuman, telekomunikasi, pembuatan dan perkhidmatan ini juga akan mencari peluang  menarik pelabur ke dalam syarikat masing-masing.

Mohammad Hardee menambah, SME Bank sebagai agensi pelaksana telah memulakan program  sejak tahun 2016 sehingga 2019 di mana sebelum ini ia dikenali sebagai Best Exporters Program dan merupakan kolaborasi antara TERAJU, SME Bank dan MATRADE.

Sebanyak 73 buah syarikat tempatan telah menyertai program tersebut dan mencatat peningkatan hasil eksport sebanyak RM141.4 juta; 55 buah syarikat telah berjaya meningkatkan hasil eksport; 19 buah syarikat telah menjadi pengeksport baharu dan 13 buah syarikat telah mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM87.7 juta.- MalaysiaGazette