Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim. Foto Mohamad Ruhaiman Zulkifli.

BANDAR BAHARU –  Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim bakal menceburi dunia perfileman apabila akan menjadi pelakon utama  sebuah filem tidak lama lagi.

Beliau yang berusia 49 tahun berkata, filem itu berkisarkan kisah hidupnya dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang di mana dirinya turut bertindak sebagai penulis skrip.

Menurut beliau, sesi penggambaran filem itu bakal bermula bulan depan manakala majlis pelancarannya akan diadakan pada April ini.

“Saya dapat tawaran berlakon filem dan menjadi hero serta dibuat filem autobiografi tentang saya. Saya rasa syukur pada Allah kerana ini setakat ini yang pertama di Malaysia, cerita seorang ustaz dari kecil hingga besar sekarang.

“Pelancaran filem itu tidak lama lagi, Insya-Allah bulan April ini.

“Skrip filem saya yang buat dan mereka sudah hantar balik skrip itu dan sinopsis. Sekarang hanya tunggu mula penggambaran iaitu Insya-Allah Mac depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan produk susu kambing Faa-iz keluaran Al- Faizin Marketing di Komplels Islam Darul Faazin (KiDaF) di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi KIDaF, Ustaz Jafri Abu Bakar@Mahmud.

Pengerusi KIDaF, Ustaz Jafri Abu Bakar@Mahmud (tengah ) dan Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim (kanan) pada majlis pelancaran produk susu kambing Faa-iz keluaran Al- Faizin Marketing di Komplels Islam Darul Faazin di Bandar Baharu, Kedah malam tadi.

Ustaz Kazim yang menjadi popular kerana sering muncul dalam program dan forum agama Islam di kaca televisyen menyifatkan tawaran berlakon filem itu sebagai hikmah apa yang menimpa dirinya sebelum ini.

“Saya ingat yang pertama tuhan bagi saya sakit macam-macam sebab tuhan hendak bagi benda lain, setiap kali saya sakit saya dapat benda lain. Itu yang merawat hati saya. Saya sentiasa berpandangan baik dengan tuhan.

“Saya anggap dosa saya banyak dan saya anggap ini menghapuskan dosa. Ada orang tanya sakit empat bulan Allah bagi apa kepada ustaz?

“Jadi sebab itu walaupun saya sakit, saya rasa seronok sebab ada benda Tuhan hendak beri kepada saya,” katanya.

Pada tahun lalu, Ustaz Kazim turut berlakon sebuah telemovie. – MalaysiaGazette