JOHOR BAHRU – Calon yang akan dipertaruhkan Parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diputuskan dalam masa terdekat.
Itu kata presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika ditanya mengenai persediaan partinya menghadapi PRN di negeri itu.
“Fasal ini (calon) saya mahu bincang sebab itu saya datang ke sini, nanti saya umumkan berapa kerusi kita sudah maklumkan Warisan akan bertanding.
“Kita bersama rakyat, dari segi perjuangan kita ada rakyat dan kerjasama dengan rakyat kita kena rapatkan. Rakyat bukan mahu pilih parti mana dia mahu pilih calon mana yang boleh beri perkhidmatan kepada mereka yang boleh mereka dampingi. Kita telah kenal pasti beberapa orang. Sedikit masa lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan siri Jelajah Presiden Warisan di Masai dekat sini hari ini.
Sebelum itu, lawatan Mohd . Shafie ke Pasar Muafakat Sabah di sini pagi ini terpaksa dibatalkan kerana pasar berkenaan ditutup.
Jelajah presiden parti itu yang dijangka berjalan pukul 10 pagi tadi di pasar berkenaan tidak dapat dilakukan kerana ianya ditutup dengan alasan perlu melakukan kerja-kerja sanitasi.
Program yang dijadualkan itu bagaimanapun bertukar lokasi di sebuah restoran berhampiran pasar berkenaan.
“Dia ini perkara biasa, dia bukan sabotaj. Saya sudah lali dengan politik sebegini, cuma saya ingat mahu beli buah tadi, macam restoran ini makan dan sarapan sikit sebab itu saya berhenti di sini.
“Kebetulan mereka tahu saya ke sini, bukan tidak tahu kerana di peringkat sekarang jaga-jaga cuma jangan buat perhimpunan sahaja. Ini saya masuk ke restoran dan pasar bukan saya nak buat kempen apa-apa pun.
“Saya tidak kisah sangat politik ini, masa saya di Sabah semua dewan boleh pakai. Pembangkang ke, kerajaan ke, yang penting dia sewa dewan.
“Saya tidak halang ini sistem demokrasi, berikan rakyat pilih, jangan halang mana-mana. Kalau rakyat pilih itu kehendak rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette