Terence Naidu.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang kini menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan siasatan Ahli Dewan Undangan DAP Perak, Terence Naidu positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihakny telah menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Pejabat Pendakwaan Negeri pada 3 Februari lalu.

Artikel berkaitan:

“Antara laporan yang dikemukakan termasuk laporan patologi serta laporan dakwaan ada pihak masukan dadah dalam minumannya.

“Buat masa ini kami belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada timbalan pendakwa raya untuk tindakan pendakwaan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

MalaysiaGazette pada 15 Januari lalu, melaporkan ADUN DAP di Perak, Terence Naidu mengaku beliau adalah wakil rakyat yang ditangkap polis semalam dan saringan air kencingnya positif dadah.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan petang tadi, wakil rakyat Pasir Bedamar itu berkata, beliau telah memberi kenyataan beramaran kepada pihak polis tentang situasi sebenar yang membawa kepada penahanannya itu. 

Terence yang terkejut ketika dimaklumkan air kencingnya positif dadah memberitahu, beliau telah diundang oleh kliennya untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette