Gambar hiasan.

PERSATUAN Wakil Takaful Am Muslim (PERWATAM) sehingga hari ini merasakan penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan Kawalan Kos Operasi atau lebih dikenali sebagai OCC ke atas perniagaan Takaful Am dan Insurans Am mulai 1 Disember 2021 akan menjejaskan keberkesanan pengoperasian dan urus tadbir pejabat agensi pada masa akan datang.

Dari satu sudut lain, kawalan kos ini bermanfaat dalam mengurangkan kos bagi syarikat takaful dan insurans secara amnya.

Kaedah penjimatan kos operasi adalah satu tindakan yang baik dan operasi secara pendigitalan merupakan usaha ke arah penjimatan kos dan mencapai status negara maju sesuai dengan arus perdana hari ini.

Namun perlu diingatkan bahawa perkhidmatan konsultansi berkaitan pengurusan risiko (Takaful dan Insurans) merupakan satu bisnes interaksi unik di mana ia memerlukan Pemberi Maklumat (Wakil) mengadakan interaksi secara eksklusif dan berhadapan dengan Pengguna (Prospek dan Pelanggan) demi menjamin kualiti pemahaman sesuatu produk dengan lebih berkesan.

Justeru itu keadaan ini melibatkan kos pengoperasian yang sangat tinggi di mana kos pengurusan yang melibatkan pejabat agensi, staf pentadbiran pejabat dan pelbagai utiliti lain.

Jika perlaksanaan pergerakan kos ini dilaksanakan, satu titik kewajaran mesti dicapai supaya BNM dapat memastikan kos pengoperasian dan insentif bersifat kewangan, bukan kewangan, peralatan teknologi IT dan lain-lain insentif diberikan demi menjamin keberkesanan tadbir urus syarikat agar pengguna mendapat kepuasan produk dan pemahaman maksima.

Secara tinjauan kasar, hampir 60% wakil Takaful Am dan Insurans Am mempunyai pejabat agensi sendiri di mana perlu membayar gaji pekerja serta kos-kos lain seperti kos pemasaran, bil elektrik dan bil internet.

Jika sekadar layak memperoleh hanya 10% komisen sahaja, maka ini sangat menyukarkan kami wakil Takaful Am untuk membayar kos tetap overhed setiap bulan.

Saya berharap perlaksanaan OCC oleh Bank Negara lebih bersifat adil, berimbang dan saksama terhadap para wakil Takaful dan Insurans di Malaysia, tidak terhad kepada syarikat Pengendali Operasi sahaja.

Kami sebagai wakil Takaful Am menyumbang kepada pemahaman konstruktif masyarakat dan kami telah menjalani latihan intensif berkala dari pihak MII, MTA, PIAM dan agensi berkaitan industri.

Pertumbuhan positif ekonomi dan sektor kewangan negara Malaysia juga dibantu secara intensif dan eksklusif oleh pihak wakil Takaful Am dan Insuran Am (kira-kira lebih 30,000 orang berdaftar sebagai agen seperti yang dilaporkan oleh pihak MTA dan PIAM berdasarkan laporan tahunan 2020).

Penilaian manfaat saksama terhadap para agen Takaful dan Insurans di Malaysia perlu diberi perhatian.

Saya  berharap pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dapat melonggarkan sedikit penguatkuasaan ke atas kawalan kos
operasi perniagaan wakil Takaful Am seperti sebelum ini.

Saya juga mohon agar insentif bulanan dan insentif tahunan dapat diadakan semula oleh semua syarikat Takaful dengan kelulusan dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM).- MalaysiaGazette

Hishammuddin Abd Aziz
Pengerusi PERWATAM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast