ALOR GAJAH – Dua sahabat maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima terbabas sebelum merempuh papan tanda di Kilometer 194.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, pemandu, Go Kuan Woei dan penumpang Yee Kam Pou, kedua-duanya berusia berusia 46 tahun maut di lokasi kejadian akibat tersepit selepas MPV berkenaan terbalik.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, MPV terbabit sebelum itu dalam perjalanan dari arah Johor ke Kuala Lumpur bagi urusan kerja membaiki rumah.

“Bagaimanapun setibanya di tempat kejadian kenderaan dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar papan tanda di bahu lebuhraya.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 pagi berhubung kemalangan terbabit.

Susulan itu, katanya dua jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Jasin Bestari bersama 13 anggota bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kedua-dua mangsa sedang tersepit di dalam MPV yang terbalik sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette