Sebilangan doktor kontrak berkumpul sebagai tanda protes bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

MENJADI kelaziman Majlis Belia Malaysia (MBM) mendekati dan berdialog dengan pelbagai kelompok anak muda termasuk dalam arena profesional.

MBM bukan sahaja mahu memahami isu mereka bahkan mahu mereka terlibat mengangkat suara dan isu mereka bersama-sama melalui platform gerakan belia khususnya bersama MBM.

Ini bersesuaian dengan peranan dan fungsi payung besar MBM sebagai suara rasmi belia Malaysia yang inklusif.

MBM memang mempunyai agenda berterusan merapati golongan profesional muda memandangkan kelompok ini merupakan kelas pertengahan yang aktif menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara.

Tidak terkecuali MBM merapati golongan doktor muda yang membentuk kelompok penting golongan profesional muda.

Baru-baru ini, MBM berkesempatan berdialog bagi menyelami kehidupan dan permasalahan umum sekelompok doktor muda.

Secara umumnya doktor ini merupakan kelompok bakat negara yang perlu disantuni dan diberikan sokongan oleh pihak Kerajaan.

Isu hartal doktor kontrak merupakan antara isu yang diangkat dan hangat diperkatakan dan diperdebatkan di ruang awam dan media sosial. Isu ini terus menghantui doktor-doktor muda kontrak untuk terus fokus berkhidmat dengan penuh semangat di sebalik tugasan berat dan tekanan mereka berhadapan dengan para pesakit.

Bukanlah imbuhan kewangan yang terlalu mereka utamakan namun status tetap dalam berkhidmat sangat-sangat membantu untuk mereka memberikan perkhidmatan terbaik.

Terdapat perbezaan ketara manfaat yang diterima oleh doktor berstatus kontrak dengan yang berstatus tetap walaupun bebanan kerja adalah sama.

Sekali lagi bukan soal imbuhan kewangan tetapi manfaat-manfaat lain seperti kemudahan hari bercuti sangat-sangat memberikan motivasi untuk mereka ceria berkhidmat.

Bagi doktor muda yang berstatus tetap pula mengharapkan elaun tambahan sebagai ‘booster’ untuk mereka bermotivasi berkhidmat.

Jangan nafikan atau mengambil sikap sambil lewa terhadap imbuhan kewangan disebalik permintaan untuk mereka berkorban untuk negara kerana mereka juga adalah manusia biasa seperti kita.

Kita selalu ingat untuk membantu orang ramai yang memerlukan namun kita sering lupa membantu orang yang membantu orang.

Secara peribadi saya sangat empati dan menghargai sumbangan dan pengorbanan para doktor khususnya yang menjadi bardan (barisan hadapan) sewaktu tempoh Covid-19 melanda.

Mereka berkorban sehingga ada yang mengalami tekanan mental yang sangat dahsyat sehingga ada juga yang mengambil keputusan drastik meninggalkan kerjaya ini.

Ini merupakan bakat negara yang berdedikasi dibazirkan atau brain drain selain mereka yang turut ‘quit’ disebabkan status mereka yang terus kekal kontrak, tidak menentu masa depan mereka dan ‘career pathway’ untuk menjadi doktor pakar seolah-olah disempit dan disukarkan.

Negara sangat-sangat memerlukan kumpulan profesional ini disebabkan populasi penduduk yang semakin meningkat dan fenomena masyarakat supra tua menjelang 2030.

Nilai 1 doktor di desa bersamaan dengan nilai 40-50 pesakit yang mendapatkan khidmat mereka secara harian manakala nisbah doktor – populasi penduduk sebagaimana yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 1:500.

Malaysia menghampiri sasaran nisbah ini.

Terdapat cadangan agar had umur pencen penjawat awam termasuk doktor Kerajaan diturunkan agar memberikan ruang dan peluang kepada lebih ramai doktor muda mendapatkan status tetap.

Terdapat juga cadangan sedikit radikal agar menaikan yuran berjumpa doktor RM1 dan berjumpa doktor pakar RM5 di hospital dan klinik kerajaan dinaikkan sedikit ke amaun yang munasabah dan tidak membebankan rakyat sebagai solusi untuk memberikan elaun kepada para doktor yang bertungkus lumus berkhidmat kepada rakyat.

Ia juga sebagai usaha agar pesakit menghargai nilai besar perkhidmatan yang dicurahkan oleh para doktor yang berkhidmat.

Tindakan ini memerlukan keazaman politik yang tinggi dan keberanian zaman oleh pemimpin sejurus selepas ekonomi pulih dan gaji minima dinaikkan.

Selain itu, cadangan strategi memposisikan minat dan kecenderungan seseorang doktor muda terhadap sesuatu bidang khusus mesti diraikan bagi menaikkan semangat dan nyalarasa mereka berkhidmat di bidang yang diminati dengan penuh dedikasi sekaligus membuka ruang untuk mereka menjadi pakar di bidang tersebut.

Strategi ini perlu disokong dengan memudahkan mereka menyambung pelajar ke peringkat sarjana beserta bantuan biasiswa atau separa biasiswa.

Di sebalik kesukaran dan bebanan kewangan Kerajaan yang terpaksa ditanggung, kehilangan bakat, semangat dan dedikasi doktor muda ini jauh lebih merugikan negara.

Kerajaan harus memikirkan perkara ini dengan serius sejurus ekonomi pulih sepenuhnya. Saya amat yakin Kementerian Kesihatan di bawah kepimpinan YB KJ sangat cakna akan hal ini.

Hasil dialog MBM-doktor muda juga mencadangkan beberapa perkara sampingan kepada Kementerian Kesihatan juga seperti memperbaiki kecekapan dan kebolehsandaran sistem aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia; isu peluang houseman yang terhad disebabkan bilangan hospital yang kurang; isu penswastaan bidang kesihatan, kawalan kualiti graduan perubatan dan kedoktoran; dan polisi kerajaan yang kerap bertukar dan bertindih setiap kali pertukaran Kerajaan memberikan bebanan tambahan kepada doktor kerajaan di akar umbi.

Secara umumnya dialog MBM-doktor muda ini sangat membantu MBM memahami permasalahan, cabaran dan keluhan mereka.

Sekurang-kurangnya MBM mendengar dengan penuh empati isu-isu mereka dan cuba menyalurkan masalah beserta solusi kepada pihak atasan dalam pelbagai wadah pembuatan polisi yang disertai oleh pihak MBM.

Tradisi mendengar perlu diteruskan oleh kepimpinan baharu MBM dengan mendengar lebih banyak kelompok belia yang heterogen sifatnya.

Secara kesimpulan kumpulan doktor muda ini mahukan work-life balance, kebajikan mereka terjaga dan kemajuan peluang pengembangan kerjaya melalui peluang menyambung pelajaran agar mereka boleh terus berkhidmat kepada negara dan rakyat dengan penuh fokus dan tanggungjawab.

MBM mengharap Kementerian Kesihatan dan Kerajaan mendengar permintaan suci dan ikhlas doktor muda agar kita tidak kehilangan bakat dan aset berharga ini.

Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast