Pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faizul Fazri Padok (kanan) menunjukkan pil psikotropik yang dirampas pihaknya di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar kegiatan tiga warga asing yang menjual dadah jenis pil psikotropik pada harga RM1 kepada pekerja di tapak pembinaan kononnya untuk menghilangkan kemurungan serta masalah sukar untuk tidur.

Kegiatan pasangan kekasih serta rakan mereka yang berusia antara 34 hingga 37 tahun itu terbongkar selepas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang melakukan serbuan bermula Rabu hingga semalam di tiga kawasan di George Town.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam tiga serbuan termasuk kediaman yang didiami mereka membawa kepada penemuan 90,000 pil kuda, 27,000 pil psikotropik serta syabu seberat 1.9 kilogram yang dianggarkan bernilai RM978,500.

Mohd Shuhaily (tengah) ketika mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga suspek yang mendakwa sebagai kontraktor pembinaan itu aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Mac tahun lalu.

“Hasil siasatan kita mendapati dadah yang dirampas itu untuk pasaran tempatan dan sindiket dipercayai menyasarkan pekerja tapak pembinaan.

“Sindiket ini menjual pil psikotropik kepada pekerja tapak pembinaan pada harga RM1 dan ia merangkumi tiga biji pil yang perlu dimakan secara serentak konon menghilangkan masalah tidur serta kemurungan.

“Turut rampas dalam serbuan itu barang kemas, wang tunai serta tiga buah kenderaan bernilai RM82,550,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.

90,000 biji pil kuda antara yang dirampas.

Tambah Mohd Shuhaily, kesemua suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain bebas pengaruh dadah.

Dalam kes berasingan Mohd Shuhaily berkata, polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja yang didalangi dua buruh binaan dan seorang petani ditahan di daerah Seberang Perai Tengah .

Kata Mohd Shuhaily, kesemua suspek berusia lingkungan 39 hingga 53 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan yang membawa kepada penemuan tiga ketulan mampat ganja bernilai RM2,375.

“Menarik dalam serbuan ini, apabila pihak polis menemui wang tunai RM181,000 di serbuan kedua iaitu membabitkan sebuah unit kediaman.

“Risikan juga mendapati sindiket ini aktif dalam pengedaran dadah sejak Jun 2021 dan kesemua mereka positif dadah ganja.

“Kesemua tangkapan direman bermula semalam hingga 23 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette