Ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang hilang secara misteri pada 2014 masih menaruh harapan dan percaya orang kesayangan mereka masih hidup.
Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) sedia untuk bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mengenai kajian berhubung dakwaan jurutera aeronautik Britain, Richard Godfrey bahawa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines yang hilang.

MoT berkata, perbincangan lanjut akan diadakan China dan Australia berdasarkan bukti yang boleh dipercayai yang mungkin membawa kepada pencarian baharu untuk pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac 2014.

“MOT akan bekerjasama dengan ATSB sejurus hasil keputusan daripada penelitian tersebut diperolehi kelak.,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, sama seperti ATSB, MoT juga tidak boleh mengulas secara terperinci tentang kesahihan penilaian Richard Godfrey tanpa semakan dan pengesahan pihak ketiga.

“Kita juga berpandangan bahawa sebarang bukti baharu yang boleh dipercayai yang mungkin membawa kepada penemuan lokasi pesawat MH370 perlu dipertimbangkan dan diteliti sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette