Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman menunjukkan dadah dan barangan membuat dadah yang dirampas selepas kejayaan polis dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis ganja menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah melancarkan Op Arlene bermula kelmarin sehingga semalam dan memberkas pasangan suami isteri warga tempatan berusia 27 dan 29 tahun.

Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan di sebuah tempat meletak kenderaan dan berpandukan maklumat yang diterima, anggota polis kemudiannya turut menyerbu sebuah pangsapuri yang dipercayai menjadi tempat menyimpan dan memproses dadah.

“Sebanyak 244 ketulan mampat seberat 242 kilogram disyaki dadah jenis ganja berjaya dirampas dengan anggaran nilai RM605,000.

“Selain itu, kita turut merampas dua buah mesin pemprosesan, tujuh bungkusan mengandungi bahan untuk memproses dadah dan sebuah pacuan empat roda,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Yahaya berkata, keseluruhan rampasan menerusi serbuan berkenaan dianggarkan berjumlah RM740,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil siasatan mendapati pasangan muda terbabit menggunakan modus operandi dengan menjalankan perniagaan atas talian melalui platform media sosial.

Jelas Yahaya, suspek akan mengenal pasti pembeli terlebih dahulu sebelum meneruskan urus niaga.

“Suspek ini berurus niaga secara atas talian, jadi selepas kenal pasti pembeli yang benar-benar ‘genuine’ baru lah mereka akan membuat transaksi dan penghantaran,” ujarnya.

Yahaya berkata, hasil soal siasat mendapati pasangan terbabit menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses dadah.

Tambahnya, pasangan yang mempunyai seorang anak berusia dua tahun itu, kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Februari bagi siasatan lanjut.

Berdasarkan semakan, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala suspek lelaki disahkan positif dadah jenis ganja, katanya.

“Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan rapi oleh JSJN IPK Kuala Lumpur dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah berbahaya dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette