Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan kepada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony menutup penghujahan mereka selepas tiga saksi dipanggil dalam kes rasuah yang sedang dihadapinya itu.

Ketika ini, Peter sedang membela diri atas dakwaan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi kemudian memerintahkan pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada 21 Mac dan menetapkan hujan lisan pada 31 Mac.

Mengikut pertuduhan, Peter didakwa melakukan pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.

Dia didakwa dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda. -MalaysiaGazette