Aminuddin (dua dari kanan) pada sidang media di Pejabat, Muafakat, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa pihak berkuasa agar menyiasat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P. Ramasamy yang dilihat melakukan provokasi berhubung isu anak-anak Loh Siew Hong yang memeluk Islam.

Presidennya, Aminuddin Yahaya mendakwa, Ramasamy berniat jahat dalam isu tersebut apabila beliau bukannya membincangkan berkenaan hak jagaan anak Siew Hong, sebaliknya lebih cenderung kepada mempertikai pengislaman ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga kanak-kanak itu memeluk Islam atas dasar kerelaan mereka sendiri dan telah diserah kepada Jabatan Agama Islam Perlis oleh bapa kandungnya tanpa ada paksaan, ancaman mahupun penculikan sebagai mana didakwa Ramasamy.

“Anak-anak tersebut juga tidak pada bila-bila masa ditahan oleh mana-mana pihak tetapi dijaga dengan sebaiknya oleh individu dan badan Islam yang terlibat.

“Malah, ustazah yang menjaga anak-anak tersebut sedang berusaha untuk menemukan mereka dengan ibu kandung mereka walaupun mereka sebenarnya tidak mahu.

“Pembela mahu pihak PDRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas ugutan bunuh yang terdapat dalam komen-komen yang membantah pengislaman anak-anak tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis telah meminda Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam berkaitan kapasiti pemelukan Islam kanak-kanak kepada frasa ‘ibu atau bapa’ pada 2016.

Ujarnya, oleh yang demikian keperluan yang ditetapkan pihak legislatif bagi perkara tersebut adalah melibatkan salah seorang iaitu ibu atau bapa atau penjaga sahaja untuk mengislamkan anak mereka.

Tegasnya, ia selari menurut Bahasa Perlembagaan Persekutuan yang telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Raja Perlis pada 29 Mei 2003.

Justeru katanya, tidak timbul isu pemelukan Islam oleh ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Pembela ingin mengingatkan semua pihak bahawa penentuan berkaitan dengan hukum Syarak adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

“Disebabkan itu dalam menentukan kedudukan hukum Syarak sama ada perlu kebenaran salah seorang atau kedua ibu bapa adalah dalam bidang negeri…semua pihak wajib menghormati kerangka sistem perundangan berlainan,” tambahnya.

Kata beliau, pihaknya menyeru agar semua pihak menyokong ketegasan Pembela berhubung perkara tersebut serta tidak sesekali berkompromi apabila ia melibatkan aqidah umat Islam walaupun seorang.

Sebelum ini, seorang ibu berusia 34 tahun, Loh Siew Hong, membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Pada masa ini, Siew Hong masih tidak dapat bersama tiga anaknya walaupun akhirnya berjaya mengesan mereka, setelah dilarikan bekas suaminya dan ditukar agama kepada Islam tiga tahun lalu.

Tiga anaknya kembar berusia 14 tahun dan lelaki berusia 10 tahun bertemu sekejap dengan ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di Perlis beberapa hari lalu.

Namun, mereka kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Siew Hong dan suaminya, Nagahswaran Muniandy berpisah pada Mac 2019, dan tidak lama kemudian wanita itu terasing dengan anak-anak.

Nagahswaran dilaporkan melarikan tiga kanak-kanak itu ketika ketiadaan Siew Hong dan menukar agama dan menempatkan mereka di sebuah NGO berkaitan Islam.

Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah. – MalaysiaGazette