Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini menyambut baik idea penyatuan parti-parti politik pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk rundingan pembahagian kerusi serta perancangan bersama parti komponen.

Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador berkata, namun begitu, sifat angkuh dan sombong yang ditonjolkan rakan baharu Pakatan Harapan (PH) iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kelihatan menjejaskan keharmonian.

“Seolah-olah wujud agenda tersembunyi lebih besar. Walaupun perlu diakui bahawa ini adalah sebahagian proses demokrasi yang wajar dihormati, namun dalam membentuk kerjasama yang kuat dan utuh, ianya memerlukan keikhlasan dan kejujuran.

“Jika Muda tidak menggambarkan sikap toleransi baik dan tidak menghormati rakan, maka atas dasar prinsip demokrasi, Keadilan juga wajar meletakkan calon di kerusi-kerusi yang telah selesai proses rundingan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, Syed Ibrahim Syed Noh mengesahkan telah menutup rundingan dengan Muda berkaitan pembahagian kerusi bagi PRN Johor.

Syed Ibrahim berkata, Muda telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR kepada parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

Dalam pada itu, Farhash juga menyifatkan keangkuhan bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak ubah seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sikap Syed Saddiq dan Muda yang angkuh serta sombong tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan parti Pejuang pimpinan Tun Mahathir.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu meneliti semula rundingan dan kerjasama bersama Muda, jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.