Brad Maloney

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan Brad Maloney tidak bercadang untuk melakukan perubahan taktikal menjelang pertemuan dengan Laos dalam aksi terakhir kumpulan B Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, Isnin ini.

Beliau berkata perubahan taktikal dalam permainan bukan tindakan terbaik kerana anak buahnya telah menunjukkan impak positif meskipun tewas kepada Laos dalam perlawanan pembukaan, semalam.

“Prinsip kita tetap sama, corak kita mahu bermain adalah sama, cara kita mendominasi permainan, menguasai setiap detik dalam perlawanan. Saya percaya kita melakukannya dengan baik pada perlawanan semalam dan ia berhasil apabila kita mendahului pada separuh masa pertama.

“Sudah tentu kita perlu belajar daripada kesilapan dilakukan pada separuh masa kedua apabila kita dibolosi dengan dua gol walaupun Laos mempunyai sedikit peluang. Kita perlu memperbaiki perkara itu dan kita sedang usahakan,” katanya pada sidang media secara maya dari Phnom Penh, Kemboja hari ini.

Pada masa sama, Maloney berkata beberapa muka baharu akan diberi peluang untuk beraksi pada perlawanan Isnin ini, dan jurulatih dari Australia itu berharap Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim dan Shafi Azswad Sapari dapat diturunkan.

Maloney berkata kedua-dua pemain itu telah menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini, dan mereka akan dibenarkan kembali menyertai pasukan bergantung keputusan ujian saringan mereka.

Pada perlawanan pembukaan di Stadium Prince, Malaysia tewas mengejut 2-1 kepada Laos dengan jaringan tunggal pasukan negara diperolehi menerusi A.Selvan manakala ketua pasukan Laos Bounphachan Bounkong meledak dua gol untuk mengutip tiga mata berharga.

Pasukan negara perlu menjaringkan sekurang-kurangnya menjaringkan dua gol pada pertemuan kedua Isnin ini untuk menempah tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, Selvan berkata walaupun gembira menjaringkan gol pertamanya di pentas antarabangsa, kekalahan di tangan Laos adalah sangat perit untuk dihadapi apabila skuad negara dilihat menguasai perlawanan.

“Kita ada lagi satu perlawanan yang saya percaya kita masih boleh buat terbaik dan kita juga masih ada dua hari lagi di padang latihan untuk buat persiapan rapi,” kata pemain Negeri Sembilan FC itu.

Perlawanan kumpulan B hanya membabitkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri dari kejohanan berikutan penularan COVID-19 dalam pasukan.

Hanya pemenang tiga kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir berlangsung 26 Feb.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast