Wan Saiful Wan Jan menerima memorandum daripada wakil Suara Pencarum Seluruh Malaysia, Azmi Mohd Tahir di sini, hari ini.

PETALING JAYA – Memorandum pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pengeluaran “one-off” sebanyak RM10,000 yang dikemukakan kepada Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, memorandum itu wajar dilihat oleh Muhyiddin kerana kedudukannya sebagai Pengerusi MPN serta pernah membenarkan pengeluaran KWSP.

Katanya, memorandum tersebut yang telah ditandatangni lebih 108,000 individu dengan majoriti penduduk di Lembah Klang dan Johor.

“Kalau ikutkan tumpuan utama, saya rasa ini adalah tuntutan rakyat akar umbi yang patut didengar.

“Dan saya harap rakan-rakan pimpinan dalam Perikatan Nasional dan juga dalam Kabinet terutama sekali kepada Tan Sri Muhyiddin. Saya akan angkat perkara ini kepada beliau,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Saiful berkata, meskipun kerajaan hari ini tidak bersetuju dengan pengeluaran KWSP tetapi ia pernah dilakukan sebanyak dua kali ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Ujarnya, Muhyiddin telah menunjukkan keprihatinannya kepada pencarum-pencarum KWSP dan kini kedudukannya sebagai Pengerusi MPN, beliau mampu mempertimbangkan untuk perkara berkenaan diangkat ke Kabinet.

Sementara itu, wakil Suara Pencarum Seluruh Malaysia, Azmi Mohd Tahir berkata, beliau pernah membawa memorandum berkenaan ke Pejabat Perdana Menteri sebelum ini untuk diambil perhatian.

Bagaimanapun beliau mendakwa, tidak menerima sebarang jawapan mengenainya sehingga kini.

Katanya, beliau terpaksa mencari jalan alternatif lain kerana simpati dengan pencarum yang terdesak mahu pengeluaran dibuat.

“Saya akan jumpa siapa sahaja yang sanggup membantu pencarum-pencarum ini untuk mendapatkan kelulusan pengeluaran RM10,000.

“Saya menuntut bukan hanya kepada satu atau dua pihak sahaja, saya akan jumpa seberapa ramai yang boleh,” ujarnya. – MalaysiaGazette