KUALA LUMPUR – Seorang lelaki juga merupakan orang kena tahan (OKT) yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, Johor meninggal dunia semalam kerana positif jangkitan Covid-19.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, OKT berusia 43 tahun itu telah dihantar ke hospital berkenaan kerana demam dan muntah pada 16 Februari lalu.
Menurutnya, ujian yang dibuat mengesahkan OKT positif Covid-19 dan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.
“OKT disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 pagi semalam, namun punca kematian belum diketahui.
“Justeru, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Azri, OKT terbabit telah ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kot Tinggi untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya lagi, reman terhadap OKT dibenarkan selama empat hari dan OKT telah pun dituduh di mahkamah pada 25 Januari lalu.
“OKT ditawarkan jaminan namun gagal menyediakan penjamin menyebabkan lelaki terbabit diperintahkan menjalani tahanan reman penjara.
“Tarikh sebutan semula ditetapakan pada 1 Februari manakala perbicaraan pada 28 Februari dan OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan wabak Covid-19 di penjara,” ujarnya. – MalaysiaGazette