Pendatang asing tanpa izin yang dicekup dalam rondaan di Kapar, semalam.

KUALA LUMPUR – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong darat dicekup polis ketika rondaan yang dijalankan di Jalan Pencawang Pantai, Kampung Tok Muda, Kapar dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, rondaan yang disertai sepasukan anggota dari Batalion 4 PGA Semenyih itu berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 16 hingga 28 tahun.

“Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalan yang sah dan masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut.

“Hasil siasatan lanjut, polis kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 45 tahun yang bertindak sebagai tekong darat bersama sebuah kereta berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rizal, pihaknya turut merampas sebuah kereta dan sebuah telefon bimbit dengan nilai rampasan berjumlah RM7,500.

Kesemua PATI yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk tindakan lanjut, katanya.

“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian Covid-19 bagi mencegah penularan dalam kalangan pesalah dan petugas,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963. – MalaysiaGazette