Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan dan menculik seorang warga Bangladesh kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.57 tengah malam mengenai kejadian itu daripada seorang pengadu yang juga adik kepada lelaki warga Bangladesh yang dilarikan.

Menurut beliau, ketika pengadu berada di rumahnya di Taman Bayu Perdana, dia telah menerima panggilan pada pukul 8.57 malam daripada seorang individu tidak dikenali yang menggunakan telefon bimbit milik abangnya.

“Individu terbabit memberitahu abang kepada pengadu ada bersama mereka dan meminta wang berjumlah RM50,000 sekiranya mahu mangsa dilepaskan.

“Pada pukul 9.50 malam, beberapa individu lelaki telah datang ke kediaman pengadu dengan membawa mangsa.

“Suspek bertindak memukul pengadu bersama tiga lagi rakannya yang turut berada di rumah berkenaan sebelum membawa abang pengadu beredar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Klang Selatan diketuai Inspektor Mohd Imran Dzulhainan berjaya memberkas tujuh lelaki berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun di sekitar Shah Alam dan Klang.

Jelas beliau, kesemua suspek ditahan kira-kira 30 minit selepas laporan yang dibuat oleh pengadu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berusia 38 tahun itu keluar dari kediamannya pada pukul 3 petang untuk bekerja di Shah Alam.

“Mangsa didapati ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan dan telah di bawa ke Hospital Klang untuk rawatan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan kesemua suspek kini direman sehingga 22 Februari depan. – MalaysiaGazette