Perang Rusia-Ukraine yang masih berterusan merencatkan pertumbuhan global.

KIEV – Situasi di timur Ukraine masih di bawah kawalan tentera dan pasukan keselamatan negara ini, menurut siaran akhbar pejabat Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Sabtu.

Pihak berkuasa di wilayah Donetsk dan Luhansk mula memindahkan orang awam ke Rusia pada Jumaat, berikutan kebimbangan serangan oleh tentera Ukraine.

Sementara itu, perkhidmatan perisikan negara itu sedang memantau keadaan di wilayah pertikaian Donbas, Crimea dan berhampiran sempadan Ukraine.

“Data analisis risikan secara berkala dan pertukaran maklumat dengan rakan kongsi dijalankan secara rutin. Ukraine kerap menerima data risikan tambahan berkaitan aktiviti ketenteraan Rusia.

“Keadaan di timur negara itu kini dikawal sepenuhnya pasukan keselamatan dan pertahanan Ukraine,” lapor agensi berita Sputnik memetik saluran Telegram pejabat itu.

Rusia didakwa mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran Ukraine, menimbulkan kebimbangan bahawa Kremlin merancang serangan terhadap bekas jirannya Soviet.

Moscow menafikan dakwaan itu, sebaliknya, menuduh negara-negara Barat menjejaskan keselamatannya melalui peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sempadan negaranya.

Rusia turut mengeluarkan senarai tuntutan keselamatan kepada Barat, termasuk menarik semula penempatan anggota tentera dari beberapa negara bekas Soviet serta meminta jaminan agar negara-negara itu tidak menyertai NATO.- BERNAMA