Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Status terkini kes Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pagi ini ialah menyaksikan kes positif Covid-19 masih dalam lingkungan lima angka.

Kes baharu positif sehingga jam 11.59 malam tadi ialah 28,825 kes, iaitu 3,194,848 kes kumulatif, manakala kes sembuh pula 18,514 kes (2,919,196 kes kumulatif).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 238 kes, diikuti kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 130 kes.

Katanya, daripada 28,825 kes harian yang dilaporkan itu, 95 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 28,730 kes lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Pecahan kategori kes ialah kategori 1 (8,412 kes), kategori 2 (20,318 kes), kategori 3 (59 kes), kategori 4 (22 kes) dan kategori 5 (14 kes).

Daripada 95 kes dalam kategori 3, 4 dan 5 itu, 28 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 49 kes telah menerima dua dos vaksin, 18 kes telah menerima dos penggalak, 41 kes berumur 60 tahun dan ke atas dan 48 kes mempunyai komorbid.

Bagi kes meninggal dunia pula, kata Dr. Noor Hisham, sebanyak sembilan kes dilaporkan termasuk empat kes BID.

Jumlah kluster aktif yang direkodkan semalam ialah 492 kluster menjadikan keseluruhan jumlah kluster kepada 6,704 kluster. – MalaysiaGazette