Mohd Fared Mohd Khalid

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Johor mendesak polis menyiasat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 susulan cubaannya mendedahkan maklumat kewangan negara.

Naib Ketuanya, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengakuan Muhyiddin itu perlu disiasat kerana Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba menggunakan wakilnya di dalam Kementerian Kewangan untuk berbuat demikian.

“Kami mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut.

“Kemungkinan terdapat percubaan melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang lain, di mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong menunjukkan laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pengakuannya untuk mendedahkan maklumat kewangan negara di Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, semalam

Terdahulu Mohd Fared yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Parit Sulong membuat laporan di di Balai Polis Parit Sulong, Batu Pahat, Johor susulan pengakuan bekas Perdana Menteri itu yang mahu mendedahkan maklumat kewangan negara.

Pada Jumaat lalu, Muhyiddin yang hadir pada majlis pelancaran Perikatan Nasional di Johor tidak menolak kemungkinan untuk mendedahkan maklumat kewangan negara dalam masa terdekat selepas beliau mengakui perkara itu akan disampaikan melalui Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong berkata, pendedahan Muhyiddin sangat serius kerana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bukan lagi anggota Jemaah Menteri.

“Presiden Bersatu tersebut bukanlah salah seorang daripada Menteri Kabinet atau Perdana Menteri Malaysia yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara

“Tindakan dan kata-kata Presiden Bersatu tersebut kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya. – MalaysiaGazette