KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membekalkan produk dan perkhidmatan kecekapan tenaga serta solusi tenaga boleh baharu (RE) bagi mempromosikan kehidupan lestari serta hijau.
Kerjasama ini adalah komitmen TNB membantu Ipoh mencapai impian menjadi sebuah bandaraya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030, sejajar dengan Hala Tuju Kelestarian syarikat utiliti itu untuk mencapai pelepasan sifar bersih 2050.
Ia meliputi pemasangan sistem solar fotovoltaik, lampu jalan pintar LED, sistem prestasi tenaga dan sistem pemantauan, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik dan meter pintar yang menjadi antara komponen menjadikan Ipoh Bandaraya Pintar.
Memorandum Persefahaman (MoU) ini dibuat antara TNB dan MBI serta Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX ditandatangani sempena Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang merasmikan majlis itu serta menyaksikan acara memeterai MoU dan SARE berkata, MBI berhasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Rendah Karbon selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia yang melihat kesemua 154 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan inisiatif-inisiatif berkenaan.
”Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon di seluruh negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030,” katanya.
MoU dan SARE itu diitandatangani Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) TNB, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid dan Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md. Daud.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB menghargai kerjasama kukuh yang telah kami bina selama ini dengan MBI dan kami percaya inisiatif terbaharu ini amat penting untuk membantu bandaraya Ipoh menjadi model Bandar Pintar di Malaysia menjelang 2030.
Kerjasama TNB dan MBI bermula Januari tahun lalu melalui program Smart City Blueprint yang mana MBI, TNB dan GSPARX, telah menandatangani SARE bagi pemasangan solar panel fotovoltaik di bangunan Pusat Transformasi Bandar
Pemasangan itu siap pada bulan Julai 2021 dengan memberi penjimatan bil elektrik hingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun.
MoU terbaru ini pula, bakal meluaskan lagi penglibatan TNB dalam membawa kehidupan lebih sejahtera kepada penduduk Bandaraya Ipoh dalam suasana lebih kondusif sejajar aspirasi TNB, Better World, Brighter Lives sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. – MalaysiaGazette