Antara barangan kecantikan yang digunakan kepada pelanggan semasa operasi menyerbu pusat kecantikan dan rawatan pergigian yang dijalankan oleh warga asing tidak bertauliah di Southville City, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 FEBRUARI 2022.

DENGKIL – Jabatan Imigresen menahan 21 wanita warga asing yang mengendalikan pusat rawatan kecantikan dan rawatan pergigian secara haram menerusi serbuan hari ini.

Mereka yang telah menjalan perniagaan itu sejak 2019 menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan badan dan pergigian pada harga yang lebih murah, serendah RM350, bagi menarik pelanggan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan itu sebanyak lapan pusat rawatan kecantikan dan rawatan pergigian didapati menjalankan operasi tanpa tauliah dan diuruskan warganegara asing.

Katanya, mereka bukan sahaja tidak mempunyai tauliah profesional daripada Kementerian Kesihatan (KKM) malah tidak mempunyai pas lawatan yang sah dari Jabatan Imigresen.

“Dalam operasi hari ini seramai 21 wanita warga asing terdiri daripada lima wanita Indonesia dan 16 wanita Vietnam berjaya ditahan semasa mereka khusyuk melaksanakan kerja-kerja rawatan kecantikan anggota badan dan juga perkhidmatan rawatan pergigian di pusat mereka.

“Serbuan ini dilakukan hasil pemerhatian dan risikan bersama JIM dengan kerjasama KKM selama lima bulan yang lalu di lapangan untuk menjejaki aktiviti haram mereka yang bercanggah dengan protokol kesihatan yang boleh memudaratkan.

“Sepanjang pemerhatian hasilnya mendapati rawatan kecantikan yag diberikan adalah rawatan kompleks yang memerlukan penggunaan peranti perubatan tertentu seperti prosedur rhinoplasty bagi rawatan mencantikkan hidung, rawatan membesarkan anggota badan tertentu atau dikenali sebagai rawatan filler, rawatan pemutihan dan pendakap gigi, perkhidmatan suntikan vitamin C dan botox (suntikan pembesaran punggung),” katanya di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Kata beliau, daripada lapan premis yang diserbu, pihaknya mendapati satu premis dimiliki warga asing manakala tujuh lagi disewa dan berdasarkan pemerhatian pelanggan mereka terdiri daripada suri rumah dan pegawai eksekutif.

Menurut Khairul Dzaimee, perniagaan itu mendapat sambutan yang baik kerana ia menawarkan perkhidmatan pada harga yang murah berbanding harga yang perlu dibayar di pusat rawatan berlesen.

“Kadar caj yang dikenakan ialah antara RM350 hingga maksimum RM8,000 seperti eye filler, breast filler RM1900 dan botox filler (punggung) RM3,500 manakala pembedahan plastik pula mengenakan caj RM8,000.

“Modus operandi sindiket warga asing ini yang beroperasi dengan rangkaian berasingan adalah mempromosikan perkhidmatan murah dan haram ini dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga WeChat digunakan untuk membuat tempahan.

“Bagaimanapun, peliknya hasil semakan lanjut kami mendapati kesemua pusat kecantikan haram ini tidak memberi akses mudah kepada klien mereka yang mana pelanggan yang tertarik dan mahu mendapatkan khidmat perlu request (mohon) sebagai kebenaran memasuki Instagram pusat-pusat berkenaan yang berstatus private kepada umum yang mencetuskan syak wasangka.

“Sekiranya pusat berkenaan menawarkan rawatan sah di sisi undang-undang mereka tidak perlu meletakkan status private dan kemasukan terhad dalam media sosial yang mana orang awam boleh akses jika benar berlesen sah,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, seorang wanita warga Indonesia yang ditangkap telah berkahwin dengan warga Malaysia dan kebanyakan daripada mereka tinggal lebih masa di negara ini selain tiga daripadanya tidak memiliki pas lawatan yang sah.

Katanya, siasatan akan dilakukan di bawah Peraturan 39(b), 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mereka akan direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959.

Tambah beliau, tindakan juga akan dikenakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. – MalaysiaGazette