Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengajak mahasiswa menjadi duta halal secara tidak langsung kepada keluarga, rakan sebaya dan komuniti masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tanggungjawab mereka ialah memperkenal dan menyampaikan info yang tepat serta baik berkaitan halal Malaysia.

Mereka juga katanya, perlu melazimi sikap mengkaji dan tabayyun terhadap isu halal, selain sentiasa meyakini Halal Malaysia adalah terbaik untuk semua.

Beliau berharap, dengan tanggungjawab itu akan merancakkan lagi kesedaran berkaitan Pensijilan Halal Malaysia demi kepentingan ummah sejagat.

“Dalam konteks menjadikan halal sebagai agenda negara, mahasiswa selaku generasi terpelajar merupakan duta dan contoh kepada pengguna lainnya dalam membuat pilihan untuk mendapatkan makanan yang halal.

“Maka, sudah tentulah produk dan premis yang mempunyai pensijilan halal akan menjadi keutamaan,” katanya berucap pada Program Kesedaran Halal Malaysia bersama Mahasiswa di Kompleks Islam, Putrajaya, hari ini.

Menurut Idris, walaupun program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan secara sederhana dan dalam skala kecil, namun beliau yakin kualiti yang ada pada diri anak muda itu memadai untuk menjadi juru bicara halal kepada rakan sebaya dan seluruh masyarakat.

Ini kerana, katanya, persoalan memilih makanan yang halal lagi baik iaitu suci bagi umat Islam merupakan satu kewajipan.

“Ketika ini, peranan mahasiswa adalah mempersiapkan diri dengan keilmuan yang tinggi, melatih sifat kepimpinan dalam diri dan menyemai budi pekerti mulia sehingga boleh disanjung oleh keluarga dan masyarakat.

“Dengan memiliki semua prinsip ini, mahasiswa perlu mempunyai rasa tanggugjawab untuk mendidik masyarakat dan komuniti sekeliling.

“Misalnya, merancang aktiviti berasaskan komuniti sosial yang mampu membuat perubahan kepada masyarakat sosial, menggunakan wadah media sosial menyampaikan ilmu yang baik termasuk isu viral halal bagi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap produk halal terus berlaku.

“Dewasa ini, terdapat pelbagai pemikiran yang harus dibuang sebelum menjadi barah dan daging dalam masyarakat iaitu mempercayai sesuatu perkara tanpa meneliti terlebih dahulu,” katanya.

Kata beliau, budaya negatif seperti terlalu cepat percaya khabar angin dan isu viral, ingin menjadi yang pertama dalam menyebarkan perkara tidak diketahui asal usulnya serta tidak mahu membuat semakan dan bertanya terlebih dahulu seharusnya dibuang dari kamus kehidupan mahasiswa.

Seorang mahasiswa, ujar Idris, perlu berfikiran positif dan berpengetahuan tinggi, bebas dari pengaruh tidak jelas, rajin berusaha dan mencari maklumat tepat serta membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul wajar diterapkan dalam diri mereka.

“Hal ini kerana mahasiswa adalah golongan intelek dan cerdik pandai terhadap perkembangan dunia termasuk isu halal terkini. Keistimewaan ini ialah sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan mengkaji,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast