Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bercakap pada media selepas selesai menghadiri Pelancaran Program Realiti 'Jari Neraka' berkenaan kesedaran tentang penyalahgunaan media sosial di Skypark One City Subang Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 21 FEBRUARI 2022.

SUBANG JAYA – Kerajaan sedang berusaha untuk menggunakan khidmat satelit bagi memberi rangkaian internet kepada seluruh masyarakat di negara ini tanpa mengira kawasan berbukit atau perairan laut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penggunaan satelit itu sebagai alternatif kepada rangkaian internet 5G dan 4G yang sedang dalam peringkat memastikan semua kawasan mendapat liputan itu.

“Sebelum kita mulakan 5G, kita nak lengkapkan rangkaian 4G dahulu. Yang 4G ini sahaja mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk siap sepenuhnya.

“Oleh itu, mengenai rangkaian 5G ini kita serahkan kepada sebuah syarikat untuk urusnya. Kerajaan sekarang nak tumpu penyediaan perkhidmatan internet 4G dahulu.

“Sekarang ini banyak rungutan diterima dari masyarakat yang mengadu kawasan mereka di pedalaman tidak ada rangkaian internet, nelayan di laut mengadu tidak ada rangkaian internet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program realiti “Jari Neraka” di Skypark@One City, dekat sini, petang ini.

Menurut Zahidi, melaksanakan perkhidmatan 5G bukan semudah yang disangka, kerana syarikat yang mengurusnya terpaksa melalui pelbagai lapisan dan tapisan terutama dari kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan tuan tanah.

Ini ujar beliau, tidak semudah memasang elektrik atau paip ke rumah yang sudah mempunyai kemudahan itu sejak awal lagi.

“Nak masukkan bekalan elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak hadapi masalah kerana sudah ada tiang elektrik. Begitu juga nak masukkan bekalan air, paip sudah sedia ada.

“Perkhidmatan internet 5G dan 4G ini tidak ada kemudahan itu dari awal. Kita kena usaha satu per satu, baharu boleh sediakan rangkaian internet. Jadi, ini yang saya katakan, ia mengambil masa,” katanya.

Mengenai ada syarikat monopoli perkhidmatan itu, Zahidi memberitahu, dasar kerajaan kalau boleh tidak mahu perkara itu berlaku.

“Dasar kita tak nak monopoli. Memang tak nak monopoli, tapi apabila sistemnya tidak sama, ia terpulang kepada syarikat berkenaan.

“tetapi apa yang kita tahu, syarikat ini akan buka tender kepada syarikat lain, dan ia tidak jadi monopoli,” katanya. – MalaysiaGazette