Sistem kabel dasar laut terbaharu, Southeast Asia - Middle East - Western Europe 6. Foto: Telekom Malaysia Berhad

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan menjadi sebahagian daripada konsortium untuk membangunkan sistem kabel dasar laut terbaharu, Southeast Asia – Middle East – Western Europe 6 (SEA-ME-WE 6).

Sistem kabel dasar laut itu akan menghubungkan Malaysia dengan pelbagai negara seperti Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.

TM memeterai Perjanjian Pembinaan dan Penyelenggaraan dengan kesemua ahli konsortium itu baru-baru ini.

SEA-ME-WE 6 adalah pelaburan TM terbaharu dalam sistem kabel dasar laut yang termasuk SEA-ME-WE 3, SEA-ME-WE 4, SEA-ME-WE 5 serta pelbagai laluan kabel antarabangsa lain di seluruh dunia.

SEA-ME-WE 6 akan memberi TM laluan data terpantas (latensi rendah) di antara Malaysia dan Eropah.

Ia juga menjadi satu rangkaian tambahan yang berpelbagai dan berdaya tahan untuk menampung trafik berbeban tinggi antara Asia dan Eropah.

Dengan kecanggihan teknologi, konsep kabel terbuka, dan reka bentuk kapasiti melebihi 100Tbps, pelaburan terbaharu ini bakal memberikan ahli-ahli konsortium kawalan penuh terhadap pengurusan trafik mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM sentiasa di hadapan dalam usaha menjadikan Malaysia gerbang yang ideal bagi menghubungkan Malaysia kepada dunia.

Ia juga membolehkan syarikat teknologi global membawakan perkhidmatan-perkhidmatan digital inovatif kepada Malaysia.

Katanya, perluasan kabel dasar laut terus menjadi elemen penting dalam mencapai sasaran ini.

“Pelaburan kami dalam SEA-ME-WE 6 akan membolehkan kami memenuhi keperluan kapasiti untuk permintaan digital masa hadapan yang kian meningkat merentasi Asia dan Eropah sambil terus menyediakan penyelesaian sambungan global yang diyakini, berpelbagai dan tanpa gangguan kepada para pelanggan.

“Ini juga akan membolehkan TM menyokong pembangunan pusat-pusat data syarikat berskala hiper (hyperscaler) serta keperluan rangkaian 5G negara pada masa hadapan.”

“Kabel dasar laut SEA-ME-WE 6 ini akan mendarat di stesen pendaratan kabel TM yang baharu di Morib, di samping empat (4) stesen pendaratan kabel milik TM sedia ada. Jaraknya yang strategik dan tidak jauh dengan Lembah Klang, yang mana ianya hampir dengan kebanyakan pusat-pusat data syarikat berskala hiper, menjadikannya tapak pendaratan kabel penting buat Malaysia,” katanya.

Imri menambah, pelaburan terbaharu ini akan membantu merealisasikan aspirasi TM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab digital serantau dengan memudahkan pendaratan lebih banyak kabel dasar laut di Malaysia.

Ini juga menggambarkan komitmen TM terhadap inisiatif MyDIGITAL bagi menarik lebih banyak kabel dasar laut antarabangsa mendarat di Malaysia.

Selain TM, konsortium SEA-ME-WE 6 dianggotai oleh pelbagai syarikat pemain global termasuk Bangladesh Submarine Cable Company Limited (BSCCL), Bharti Airtel Ltd. (Bharti Airtel), Dhivehi Raajjeyge Gulhun PLC (Dhiraagu), Djibouti Telecom SA (Djibouti Telecom).

Turut menganggotai Etihad Etisalat Company (Mobily), Orange (France), PT Telekomunikasi Indonesia International (Telin), Singapore Telecommunications Limited (Singtel), Sri Lanka Telecom PLC (SLT), Telecom Egypt (TE) dan Trans World Associates (TWA).

TM berpengalaman luas dalam aspek pembangunan dan pelaburan sistem kabel dasar laut di peringkat domestik dan global.

Dengan 30 sistem kabel dasar laut yang dimiliki sendiri atau dipajak sepanjang lebih 320,000 kilometer, TM komited untuk memberikan prestasi perkhidmatan tertinggi dan kualiti perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggannya di seluruh dunia.-MalaysiaGazette