Salah satu daripada 39 buah rumah yang rosak akibat hujan ribut di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal malam tadi.

ALOR GAJAH – Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini menjadi lokasi paling teruk terjejas akibat ribut malam tadi dengan menyaksikan sekurang-kurangnya 39 buah rumah mengalami kerosakan.

Penghulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ali Hassan Ahmad Shamsuddin berkata, setakat jam 8 pagi tadi, hanya 13 mangsa daripada empat buah keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Belimbing Dalam.

Ali Hassan

“Kerosakan akibat dipukul ribut semalam dengan peratusan antara 10 hingga 40 peratus.

“Antara kerosakan dialami adalah bumbung tercabut, dinding rosak dan sebahagian atap diterbangkan angin,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ali Hassan berkata, kesemua mangsa terlibat akan disalurkan bantuan daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban dihadapi.

Salah satu daripada 39 buah rumah yang rosak akibat hujan ribut di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal malam tadi.

“Kita minta semua mangsa terlibat ini agar segera bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk mengisi borang laporan kerosakan bencana untuk layak mendapat bantuan,” katanya.

Hujan lebat dan angin kencang bermula jam 6.45 petang semalam menyaksikan beberapa rumah penduduk khususnya Durian Tunggal di Alor Gajah dan Peringgit di Melaka Tengah mengalami kerosakan dan terputus bekalan elektrik selain beberapa insiden pokok tumbang.

Susulan itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri membuka satu PPS di Kampung Belimbing Dalam untuk menempatkan mangsa.- MalaysiaGazette