Aeon Co (M) Berhad majikan yang telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500..

KUALA LUMPUR – Walaupun semakan kasar terhadap gaji minimum ini belum diputuskan dan dimuktamadkan oleh kerajaan, sudah ada majikan yang telah mula membayar gaji minimum pada kadar RM1,500.

Antaranya, Aeon Co (M) Berhad dan Westports Holdings, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Menurutnya, kedua-dua majikan ini telah menunjukkan contoh yang baik yang mana mereka prihatin dengan permasalahan pekerja walaupun dengan keadaan ekonomi yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

”Saya juga ingin menyeru kepada majikan lain agar mengambil contoh pendekatan syarikat Aeon Co. (M) BHD dan Westports Holdings dan berusaha menawarkan gaji pekerja pada kadar yang melebihi gaji minimum sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan sedang dalam proses semakan dan kajian semula kadar bayaran gaji minimum selaras dengan Akta Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

Pada masa ini, kadar gaji minimum di Malaysia adalah sebanyak RM1,200 sebulan di kawasan Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran manakala bagi kawasan lain kadar gaji minimum adalah sebanyak RM1,100 yang telah berkuatkuasa sejak tahun 2020. – MalaysiaGazette