Pemandangan kawasan beli-belah di Tsim Sha Tsui, berikutan lonjakan kes penyakit koronavirus (COVID-19) di Hong Kong. foto Reuters

HONG KONG – Pihak berkuasa Hong Kong menemui Covid-19 dalam sampel yang diambil daripada pembungkusan import daging lembu beku dari Brazil dan kulit babi beku dari Poland.

Hab kewangan global itu melaksanakan strategi “dinamik sifar Covid” yang serupa dengan China, bertujuan untuknmenghapuskan wabak Covid-19.

Pihak berkuasa cukup berwaspada kerana gelombang jangkitan baharu semakin sukar dikawal.

Jumlah jangkitan harian meningkat secara mendadak tahun ini, mencapai rekod 7,533 kes pada hari Isnin, mengatasi kapasiti ujian, hospital dan kuarantin kerajaan.

Pusat Keselamatan Makanan (CFS) mengambil 36 sampel untuk ujian daripada kira-kira 1,100 karton daging beku, seberat 29 tan, yang diimport dari Brazil melalui laut dan mendapati satu pembungkusan luar dan dua sampel pembungkusan dalam diuji positif.

Ia juga mengumpul 12 sampel daripada sekitar 300 karton kulit babi beku, seberat sekitar 7 tan, yang diimport dari Poland melalui laut. Satu sampel pembungkusan dalaman disahkan positif Covid-19.

“CFS telah mengarahkan pengimport terbabit untuk melupuskan daging lembu dan kulit babi dalam kumpulan yang sama. Selain itu, CFS akan meningkatkan persampelan produk yang serupa untuk ujian Covid-19,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Hong Kong telah memantau import makanan sejuk beku untuk Covid-19 sejak pertengahan 2020 dan mendapati sampel positif pada pembungkusan ikan bawal pada Ogos 2021 dan pada bungkusan sotong pada November 2021.

Pihak berkuasa berkata, kebanyakan sampel Covid-19 disebarkan melalui titisan dan tidak boleh membiak dalam makanan atau pembungkusan makanan dan tidak mungkin ia boleh berjangkit kepada manusia melalui penggunaan makanan.

Namun begitu, mereka mengesyorkan orang ramai mengendalikan makanan mentah secara berasingan, mematuhi peraturan kebersihan dan memasak makanan dengan teliti. – Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/hong-kong-finds-covid-samples-packaging-pork-beef-imports-2022-02-22/)