Tangkap layar dari sebuah video yang memaparkan sebuah kereta jenis Volvo dipandu di lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengikuti aplikasi navigasi Waze, seorang lelaki warga emas terpaksa memandu di lorong motosikal di Lebuh Raya Persekutuan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11.06 pagi dari arah Klang menghalan ke ibu negara.

Menurut beliau, lelaki berusia 60 tahun yang memandu kereta jenis Volvo itu datang dari rumahnya di Tangkak, Johor untuk menuju ke Bukit Jalil.

“Akibat mengikuti panduan Waze, warga emas itu telah tersilap susur dan termasuk ke lorong motosikal bermula dari Kilometer 15.1 sebelum keluar semula ke jalan utama di kawasan Petaling Jaya.

“Bagaimanapun, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan dengan kenderaan lain atau kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 53 saat tular di laman media sosial memaparkan sebuah kereta dipandu di lorong motosikal.

Video berkenaan dipercayai dirakam penunggang motosikal yang berada di belakang kenderaan itu. – MalaysiaGazette