KUALA LUMPUR – Malaysia langsung tidak sensitif dengan penindasan umat Islam Uighur oleh kerajaan negara China apabila tetap menghantar atlet negara menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang berakhir pada Ahad lalu.

Naib Ketua Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Gombak, Mohamad Shahrulufti Mohamad Sharif berkata, mempertahankan umat Islam adalah tanggungjawab bersama memandangkan Islam adalah agama rasmi persekutuan bagi Malaysia.

“Seperti tiada apa-apa yang kita rasai apabila umat Islam Uighur dibantai dan ditindas oleh kerajaan China,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Cabaran Malaysia pada sukan itu berakhir selepas peluncur Alpine negara, Jeffrey Webb tidak berjaya meneruskan saingan dalam acara slalom lelaki di Pusat Ski Alpine Nasional Yanqing, pada Rabu.

Sebelum ini, atlet luncur Alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin yang membuat penampilan sulung di temasya itu menamatkan cabaran dalam acara giant slalom wanita dengan berada dalam kelompok 40 terbaik pada 7 Februari lepas.

Malah, Malaysia gagal mengutip sebarang pingat dalam sukan itu, suatu keputusan yang amat mengecewakan.

Menurut Mohamad Shahrulutfi, banyak negara Islam telah boikot penglibatan mereka sebagai tanda protes dan sensitif.

“Jepun juga boikot Sukan Olimpik Beijing 2022 mengapa Malaysia masih lagi memberi muka kepada negara China?

“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perlu menjelaskan perkara ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami merasa tidak senang dengan penglibatan kontinjen negara untuk Sukan Olimpik 2022 Beijing,” katanya.

Beliau menjelaskan, penyertaan itu sebagai satu pembaziran kerana gagal memungut pingat dan berada tempat tercorot dalam carta pingat.

Katanya, kekalahan atlet negara disebabkan jenis sukan tidak bersesuaian, apatah lagi Malaysia bukan negara bersalji untuk mereka membuat latihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast