Misi bantuan kemanusiaan akan diteruskan lagi dengan mengumpul derma dari seluruh rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Afghanistan.

KUALA LUMPUR – Misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Afghanistan berjalan lancar selepas pesawat khas yang membawa kira-kira lima tan bantuan itu selamat berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang hari ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, bantuan itu hasil kerjasama Kementerian Luar Negeri dengan sektor swasta – Golden Horses Digital Investment Bank, pertubuhan bukan kerajaan – Global Peace Mission (GPM) dan Buddha’s Light International Association (BLIA).

Menteri Luar, Datuk Seri Saifudin Abdullah menyempurnakan majlis penghantaran itu yang mana penerbangan akan melalui Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan sebelum tiba di Kabul, Afghanistan.

Bantuan kemanusiaan itu adalah pakaian musim sejuk, jaket, selimut, susu tepung dan keperluan asas lain untuk kegunaan rakyat serta kanak-kanak Afghanistan.

Sebaik tiba di sana, bantuan itu akan diedarkan dengan kerjasama NGO tempatan Afghanistan iaitu Ehsas Welfare & Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).

Menurut Wisma Putra, bantuan kemanusiaan itu adalah sumbangan rakyat Malaysia bagi meringankan penderitaan rakyat Afghanistan sepanjang menghadapi musim sejuk ketika ini.

“NGOs Malaysia sentiasa aktif menghulurkan bantuan kepada masyarakat, baik dalam atau luar negara.

“NGO seperti GPM, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muslim Care Malaysia (MCM), MERCY Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (HaRUM) telah menjalankan misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan.

“Terkini adalah BLIA dan akan diikuti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menghulurkan bantuan kepada negara itu,” katanya kenyataan itu.

Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi (CEPR) Malaysia bersedia menghulurkan bantuan terutama dalam penubuhan sistem perbankan dan kewangan Islam berdasarkan perundangan syariah.

Pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam membantu membina dan membangun semula Afghanistan, antaranya pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, perlombongan sumber mineral, telekomunikasi dan tenaga baharu.

Kata kenyataan itu lagi, misi bantuan itu menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia, yang mempamerkan solidariti rakyat Malaysia dengan Afghanistan. – MalaysiaGazette