Keadaan cermin belakang kereta jenis Toyota Vellfire yang pecah selepas dilempar menggunakan spanar oleh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kuching di sini semalam.- Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian pecah cermin kenderaan dengan membaling sebatang spanar di Jalan Kuching di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu warga tempatan sekitar pukul 4 petang mengenai kejadian itu.

Menurut beliau, ketika pengadu sedang memandu kenderaannya jenis Toyota Vellfire, terdapat sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran BDY 6245 telah memotong dari arah kanan kenderaan secara berbahaya.

“Oleh kerana terkejut dengan tindakan motosikal itu, secara spontan pengadu telah membunyikan hon sebagai tanda amaran namun penunggang motosikal terbabit bertindak menunjukkan jari tengah ke arah pengadu sebagai tanda tidak berpuas hati.

“Pengadu kemudiannya mengabaikan insiden itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa namun secara tiba-tiba menerusi cermin sisi kereta, pengadu dapat melihat tindakan penunggang motosikal terbabit sedang menghimpit kenderaannya dan membaling satu objek.

“Pengadu menghentikan kenderaannya dan hasil pemeriksaan mendapati penunggang motosikal itu telah membaling sebatang spanar sehingga menyebabkan cermin belakangnya pecah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Eng Lai berkata, polis kini sedang mengesan suspek di dalam video yang dirakam oleh pengadu bagi membantu siasatan.

Tambahnya lagi, polis memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkenaan kejadian kepada pihak polis dalam usaha untuk mengesan suspek.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggari undang-undang di dalam negara ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih dari lima tahun dan juga boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette