Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sejumlah 118 kluster direkodkan pada Minggu Epidemilogi (ME) 7/2022 berbanding 97 kluster pada ME 6/2022 iaitu peningkatan sebanyak 21.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kategori kluster yang menunjukkan peningkatan pada ME 7/2022 adalah melibatkan kluster pendidikan iaitu daripada 61 kluster kepada 92 kluster.

Menurut beliau, kluster pusat tahanan pula mencatatkan tiga kluster pada ME 7/2022 berbanding ME 6/2022 di mana tiada kluster direkodkan.

Katanya, sejak 1 Januari sehingga 19 Februari lalu terdapat 367 kluster pendidikan telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 kluster pendidikan telah tamat manakala 346 kluster pendidikan lagi masih aktif.

“Trend mingguan kluster pendidikan telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada ME 1/2022 sehingga ME 7/2022, walaupun terdapat trend penurunan pada ME 5/2022 disebabkan cuti perayaan Tahun Baru Cina.

“Namun trend ini dilihat kembali meningkat pada ME 6/2022 dan ME 7/2022 berkadaran dengan peningkatan kes yang ketara di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, negeri yang melaporkan kluster pendidikan paling tinggi bermula  1 Januari hingga 19 Februari lalu adalah Kelantan dengan 54 kluster diikuti oleh Selangor (49 kluster), Pahang (38 kluster), WP Kuala Lumpur (37 kluster) dan Sabah (34 kluster).

Jelas beliau, siasatan mendapati 328 kluster (89.4 peratus) dengan kes indeks merupakan pelajar, manakala 31 kluster (8.5 peratus) dengan kes indeks merupakan guru atau pensyarah.

Katanya lagi, sebanyak enam kluster (1.6 peratus) dengan kes indeks daripada kalangan kakitangan sokongan pusat pendidikan dan baki dua kluster (0.6 peratus) dengan keluarga sebagai kes indeks

“Majoriti kes yang dilaporkan adalah kategori bergejala ringan atau tiada gejala. Sebanyak 12,579 kes (76.4 peratus) adalah dari kategori 2, 3,850 kes (23.4 peratus) adalah dari kategori 1, dan 35 kes (0.2 peratus) dari kategori 3 dan 4.

“Peringkat sekolah menengah melaporkan kluster paling tinggi iaitu sebanyak 232 kluster diikuti kolej (68 kluster), sekolah rendah (25 kluster), universiti (22 kluster) dan prasekolah (20 kluster),” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kesemua 257 sekolah yang terlibat adalah daripada pelbagai agensi iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maahad Tahfiz dan lain-lain.

“Sehingga 19 Februari, sebanyak 232 kluster melibatkan sekolah menengah dan 25 kluster melibatkan sekolah rendah yang masih aktif, daripada jumlah tersebut 107 sekolah (42.3 peratus) telah ditutup sementara untuk pembersihan dan dijadikan tempat kuarantin dan 150 sekolah (58.4 peratus) hanya memerlukan penutupan kelas sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette