Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary bercakap kepada media selepas melancarkan buku Manual Komuniti Hijrah Lesbian dan Gay terbitan JAKIM di Putrajaya International Convention Center (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA -Kementerian Dalam Negeri (KDN) diharap akan mengemukakan permohonan mengharamkan buku Gay is OK! A Christian Perspective ke Mahkamah Rayuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, usaha untuk cuba menormalisasikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di dalam negara patut dihalang  kerana ia tidak sesuai untuk umat  Islam dan budaya Timur. 

“Kalau sekiranya pihak KDN ingin merayu ke mahkamah yang lebih tinggi kita sangat menyokong kalau boleh kita mencadangkan begitu supaya ia tidak menjadi satu perkara yang menggusarkan orang Islam sendiri dan LGBT dengan buku itu tidak sepatutnya menjadi perkara yang nak dinormalisasikan dalam negara kita.

“Masyarakat Malaysia, Islam khususnya sebagai agama Islam, masyarakat Timur di Malaysia, LGBT tidak sesuai di Malaysia dan di seluruh dunia pun tidak sesuai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, penerbit dan penulis buku Gay is OK! A Christian Perspective berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkan buku itu dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin dalam keputusannya membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.

Perintah larangan ke atas buku itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri pada 27 November 2020 mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dengan alasan kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman, moral dan kepentingan awam.

Noorin dalam penghakiman dilaporkan sebagai berkata bahawa mahkamah mendapati tiada bukti dan asas fakta undang-undang terhadap justifikasi menteri yang menjadi asas dalam perintah larangan itu.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah Tinggi batalkan pengharaman buku ‘Gay Is Okay!

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast