Hasni (tengah) pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di Kampung Permatang Palas, Benut semalam.

PONTIAN – “Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh kampung yang hanya setakat bersorak sesama kita tetapi kita mahu berada di persada di pentas antarabangsa.”

Itu tegas  Datuk Seri Hasni Mohamad yang bertekad mahu melahirkan lebih ramai generasi muda berilmu dan berkebolehan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam arus pembangunan pesat di negeri itu.

Beliau yang memangku jawatan Menteri Besar dalam tempoh sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata, adalah menjadi matlamat utama kerajaan negeri untuk mewujudkan dasar pendidikan bersifat holisitik supaya generasi muda mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

“Inilah yang hendak kita lakukan. Lebih ramai sumber tenaga manusia dapat kita bangunkan. Hasrat dan matlamat kita ialah membentuk dasar pendidikan yang holistik, dasar pendidikan yang bersifat serantau dan antarabangsa supaya pelajar-pelajar kita akan dapat menembusi pasaran pekerjaan dalam bidang- bidang ilmu yang setara dengan perkembangan dan peredaran masa.

“Kita hendak melahirkan lebih ramai anak bangsa yang berjaya supaya mereka boleh bersaing dengan sesiapa sahaja. Itulah semangat yang harus kita pikul, yang harus kita bawa dan harus kita julang sebagai satu tekad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di Kampung Permatang Palas, Benut semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan,  Datuk Mohamad Alamin dan Ahli Parlimen Pontian,  Datuk Seri Ahmad Maslan.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional Johor berkata, kedudukan Johor berjiran dengan negara maju seperti Singapura menuntut semua pihak bersama-sama melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan tidak hanya menjadi seperti jaguh kampung.

“Saya tidak pasti negeri lain tetapi di Johor, kita perlukan. Lebih-lebih lagi apabila kita berjiran dengan negara yang maju, apabila kita melihat kemajuan demi kemajuan dicapai oleh negara-negara jiran, kita tidak mahu ketinggalan. – MalaysiaGazette