Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir pada Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanahair di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta pihak yang mendakwa anaknya mempunyai berbilion ringgit supaya mengemukakan bukti secara dokumen.

Pengerusi Parti Pejuang Tanahair itu berkata, tuduhan yang dilemparkan itu hanyalah palsu semata-mata.

“Tapi Najib tak ada lain, kononnya anak saya bilionair apa semua. Tunjukkan bukti. Seperti mana kita tunjukkan bukti di mahkamah Najib menyelewengkan duit kerajaan.

“Saya nak tengok bukti secara dokumen bahawa anak saya mempunyai berbilion ringgit seperti yang didakwa oleh Najib. Ini cuma tuduhan palsu Najib.

“Jadi, saya fikir kalau orang nak percaya anak saya dibantu oleh saya, itu boleh fikir baik-baik,” kata Dr. Mahathir pada sidang media sempena Pelancaran Aspirasi Johor sempena Pilihan Raya Negeri Johor di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr. Mahathir ditanya oleh media mengenai dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa Dr. Mahathir selalu memberi tekanan kepada beliau untuk menyokong projek-projek kroni Ahli Parlimen Langkawi itu sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Menurut Dr Mahathir, dia tidak mempunyai kroni sebaliknya hanya memiliki beberapa individu yang berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya tak payah Najib nak jaga kroni saya. Kalau saya ada kroni saya boleh jaga kroni saya. Saya tidak ada kroni. Saya ada orang yang berkebolehan. saya tidak tolong orang yang tidak ada kebolehan.

“Umpamanya kerajaan kalau mempunyai modal RM1 juta nak bagi kepada orang, kalau kita nak bagi kepada orang yang tidak ada kebolehan satu juta itu akan hilang.

“Sebab itu kalau kita nak bantu, nak bagi kontrak kita nak tahu boleh atau tidak boleh,” katanya lagi.

Semalam, Najib menjawab surat kedua Dr. Mahathir kepada pengundi Johor dengan mendakwa pengerusi Parti Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi perdana menteri.

Menurut Dr. Mahathir lagi, dia cuma menyokong orang yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara iaitu orang yang berjaya.

“Malangnya orang yang saya tolong itu banyak. Yang gagal tak dikenalkan sebagai kroni cuma yang menang sahaja jadi kroni.

“Eh, bukan main banyak yang dapat bantuan, kenapa mereka tidak boleh dikenali sebagai kroni, keluarga saya pun banyak juga. Siapa dia keluarga saya jadi kroni,” kata Dr. Mahathir.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M tekan saya sebelum tarik sokongan – Najib