Bantuan RM100 ini akan diagihkan akhir Mac ini
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar menyegerakan pelaksanaan penetapan kadar gaji minimum yang baharu sebanyak RM1,500 secepat mungkin tanpa menunggu hingga penghujung tahun ini.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, jika dilaksanakan segera cadangan itu akan memberi nafas baharu kepada golongan miskin B40 di negara ini, walaupun keputusan tersebut dianggap akan memberi kesan terhadap perniagaan, tetapi, impak ke atas ekonomi harus dilihat secara holistik.

Katanya, peningkatan gaji akan meningkatkan kos operasi, namun, ia juga akan meningkatkan permintaan pelbagai barangan dan perkhidmatan domestik yang akan memberikan impak lebih besar kepada ekonomi tempatan yang mana rakyat akan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja.

“Harus diingat, kali terakhir kadar gaji minimum dinaikkan adalah melalui pembentangan Belanjawan 2020 apabila kerajaan bersetuju menambah RM100, iaitu daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan…ia berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Sebagai perbandingan dengan negara serantau, gaji minimum di Malaysia dengan Thailand dan Indonesia, menggunapakai gaji minimum sekarang, iaitu RM 1,200, bersamaan AS$287 sebulan diterima oleh rakyat Malaysia sebagai gaji minimum.

“Di Thailand, gaji minimum adalah 336 Thai Baht sehari atau 13,440 THB, bersamaan USD 414 sebulan…di Indonesia, gaji minimum adalah AS$326 sebulan, perbandingan ini menunjukkan Malaysia berada dalam keadaan antara tercorot di rantau ini.

“Jika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, ianya bersamaan AS$357, meletakkan negara kita di kelompok tertinggi di rantau ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru beliau berkata, DPIM berpendapat bahawa gaji minimum baharu perlu menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan hari ini sebelum diadakan Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Tambahnya, kerajaan tidak perlu mengambil masa lama dalam membuat kajian kerana rakyat terutama golongan B40 sudah dua tahun terseksa dan terhimpit kerana penularan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette