Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas di susur keluar tol Bukit Beruntung menghala selatan, dekat sini, lalu melanggar pembahagi jalan dan terbalik sebelum terbakar awal pagi ini.

Menurut satu kenyataan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa menerima panggilan kecemasan mengenai insiden di KM 428 Lebuh Raya Utara Selatan itu pada jam 1.08 pagi.

Katanya, sebuah jentera bomba, sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi pihak bomba mendapati sebuah kenderaan terbakar di tepi pembahagi jalan, ujarnya.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya menggunakan satu aliran salur bantu mula pam tangki jentera,” kata kenyataan itu sambil menambah dianggarkan MPV itu musnah 90 peratus.

Menurut kenyataan itu, bomba mendapati seorang mangsa rentung dalam kebakaran itu dan mayat dikeluarkan menggunakan peralatan RTA (Road Traffic Accident).

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.15 pagi. – MalaysiaGazette