Pihak bomba sedang menurunkan mangsa maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Alor Setar, Kedah hari ini.

ALOR SETAR – Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa membaiki bumbung rumahnya, di Lorong Pauh, Derga di sini, hari ini.

Mangsa berusia 38 tahun itu ditemui terbaring atas bumbung oleh ahli keluarganya dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi .

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden jam 11.46 pagi.

Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati mangsa terbaring di atas bumbung dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kita memutuskan aliran elektrik sebelum menyelamatkan mangsa, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dibawa turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette