Datuk Che Sukri Che Mat

MELAKA – Melaka tidak bercadang mewajibkan hanya jemaah yang lengkap vaksin dan mengambil dos penggalak Covid-19 dibenarkan menunaikan solat di masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, walaupun berlaku peningkatan kes Covid-19 akibat penularan varian Omicron, setakat ini Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka tidak membincangkan ketetapan sedemikian setakat ini.

Menurutnya, langkah tidak mewajibkan pengambilan dos penggalak untuk ke masjid itu juga demi keprihatinan terhadap sesetengah jemaah yang masih belum lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak.

“Bagi semua masjid dan surau di Melaka, kita lebih senang dengan keadaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang ditetapkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa.

“Maknanya, sehingga kini kita masih kekalkan dengan ketetapan lama iaitu boleh solat berjemaah di masjid mengikut jarak fizikal satu meter, tak ada syarat wajib perlu lengkap dos vaksin termasuk dos penggalak baru boleh solat berjemaah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ketetapan terkini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada pengurusan masjid dan surau negeri itu.

Melalui ketetapan terbaharu itu, hanya jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor bermula esok dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, beliau tidak menganggap keputusan itu buruk atau sebaliknya kerana ia bergantung kepada negeri berkenaan yang mempunyai rasional tersendiri

“Kalau JAIS dah wajibkan begitu, saya tak boleh komen kata ia bertentangan atau baik tapi di Melaka kita tidak putuskan begitu.

“Sebenarnya, apa sahaja ketetapannya, syarat paling penting adalah sentiasalah mematuhi SOP sedia ada sepanjang masa,” katanya. – MalaysiaGazette